KUALA LUMPUR, 9 Mei – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 akan diumumkan pada 27 Mei 2024 (Khamis).
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan seramai 395,870 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2023 di 3,340 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
"Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut.
"Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan," kata KPM menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, KPM memaklumkan calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui kaedah berikut:
i. Secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 mulai pukul 10:00 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga pukul 6:00 petang pada 02 Jun 2024.
ii. Secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke
15888.
Sistem ini akan diaktifkan mulai pukul 10:00 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga pukul 6:00 petang pada 02 Jun 2024.
"KPM mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023," kata KPM.