Nelayan Iran kembali ke laut, bergelut pulihkan pendapatan

Foto AFP

BANDAR ABBAS, 18 Ogos – Selepas berbulan-bulan terpaksa berhenti turun ke laut akibat konflik, nelayan Iran di sepanjang Selat Hormuz kini mula kembali bekerja demi menyara keluarga meskipun masih berdepan risiko keselamatan dan kerosakan peralatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 2,000 nelayan di Hormozgan kehilangan kelengkapan; ratusan bot nelayan dan perdagangan turut rosak.
  • Pukat sering tersangkut pada serpihan kapal dan sisa perang, memaksa penggantian peralatan berulang kali.
  • Laut semakin tercemar sejak konflik, memperburuk keadaan sumber laut dan hasil tangkapan.
  • Kira-kira 12 nelayan terbunuh dan 17 dilapor hilang di perairan selatan sepanjang konflik.

Bagi Mohammad-Amin, 47 tahun, tempoh lebih tiga bulan tanpa bekerja memaksanya menghabiskan simpanan yang terhad sebelum kembali ke laut kira-kira 20 hari lalu.

“Kami tidak bekerja selama lebih tiga bulan kerana memang mustahil untuk turun ke laut.

“Kalau kami tidak turun ke laut, kami akan mati kelaparan dan saya mempunyai tiga orang anak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pertempuran mengakibat kerosakan peralatan apabila lebih 2,000 nelayan di wilayah Hormozgan dilaporkan kehilangan kelengkapan menangkap ikan, manakala ratusan bot nelayan dan perdagangan turut rosak.

Jelas Mohammad-Amin, pukatnya kini kerap tersangkut pada serpihan kapal dan sisa perang di laut sehingga memaksanya menggantikan peralatan berulang kali.

“Kami sudah menggantikan empat pukat setakat ini sejak kembali bekerja.

“Laut sudah tercemar sebelum ini dan kini menjadi lebih teruk dengan serpihan kapal-kapal ini,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Bagher Abbaszadeh, 39 tahun berkata, ketidaktentuan konflik menyebabkan komuniti nelayan masih dibayangi kebimbangan meskipun mereka sudah kembali bekerja.

“Kami sudah tentu bimbang perang akan bermula semula.

“Apa sahaja yang berlaku akhirnya, saya berharap ia akan memihak kepada rakyat biasa,” katanya.

Sementara itu, Hossein, 53 tahun, berkata nelayan tidak mempunyai banyak pilihan selain kembali ke laut kerana itu satu-satunya sumber pendapatan mereka.

“Kalau kami tidak bekerja, dari mana kami hendak mendapatkan wang?” katanya.

Menurut media Iran, kira-kira 12 nelayan terbunuh di perairan Bandar Abbas dan pulau-pulau selatan berdekatan, manakala 17 nelatan dari wilayah Sistan-Baluchistan dilapor hilang sepanjang konflik. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.