Keputusan rayuan akhir Syed Saddiq ditangguh ke 13 Julai

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika tiba di Istana Kehakiman, di sini / BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 Jun– Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap pelepasan dan pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ke 13 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang hakim panel, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak hadir kerana cuti sakit.
  • Panel tiga hakim asal dipengerusikan Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah.
  • Pendakwaan mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan beliau daripada empat pertuduhan berkaitan dana ARMADA.
  • Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta; Persekutuan tentukan kelayakan Ahli Parlimen.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan, penangguhan itu dibuat selepas salah seorang panel hakim, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat hadir kerana cuti sakit.

Keputusan rayuan itu sebelum ini dijadualkan disampaikan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Abu Bakar, Datuk Che Mohd Ruzima dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman pada pukul 8.50 pagi bagi mengikuti prosiding berkenaan.

Rayuan itu difailkan pihak pendakwaan selepas Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Empat pertuduhan itu membabitkan satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna harta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan rayuan Syed Saddiq dengan mengetepikan sabitan serta hukuman Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Keputusan Mahkamah Persekutuan kelak akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal dilepas dan dibebaskan atau sabitan serta hukuman Mahkamah Tinggi dikembalikan.

Keputusan itu turut menjadi perhatian kerana boleh memberi kesan terhadap kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Muar.

Bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sekiranya disabitkan dengan sesuatu kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, melainkan menerima pengampunan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.