Keputusan PRK Kinabatangan, Lamag dijangka diketahui seawal 10 malam Sabtu ini

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Ramlan Harun.-Foto Bernama

KINABATANGAN, 20 Januari – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dijangka diketahui seawal 10 malam pada Sabtu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan PRK Kinabatangan dan DUN Lamag dijangka diketahui seawal 10 malam Sabtu ini.
  • Jangkaan masa mengambil kira faktor geografi dan pusat pengundian yang jauh, terutama di kawasan pedalaman.
  • SPR memastikan semua peti undi dibawa ke pusat penjumlahan rasmi di Dewan Sri Lamag mengikut masa ditetapkan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jangkaan masa itu mengambil kira faktor geografi serta kedudukan pusat-pusat pengundian yang terletak agak jauh, khususnya di kawasan pedalaman.

“SPR memberi jaminan semua peti undi akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sri Lamag mengikut masa yang ditetapkan. Sebenarnya tiada alasan, semua peti undi kena ada di pusat penjumlahan rasmi undi.

“Biarpun kita (SPR) tahu ada pusat mengundi yang menggunakan perkhidmatan helikopter dan bot tetapi kita telah mengambil langkah sebaik mungkin bagi memastikan semua peti undi sampai ke pusat penjumlahan undi,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi awal bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.-BERNAMA