Kepelbagaian perayaan simbol keindahan Malaysia

Menteri KUSKOP, Steven Sim Chee Keong menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada RUmah Bakti Al Kausar/Foto Institut Koperasi Malaysia

PUTRAJAYA, 23 Februari Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim yang sebelum ini dimasukkan ke hospital kembali menjalankan tugas apabila menghadiri Majlis Iftar KUSKOP bersama warga kementerian petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keindahan Malaysia terletak pada kemajmukan masyarakat yang menjadi kekuatan, bukan kelemahan.
  • Perayaan pelbagai agama diraikan bersama, menunjukkan saling mengenali dan mencontohi kebaikan antara satu sama lain.
  • Majlis iftar mengukuhkan ukhwah, kebersamaan dan keprihatinan sosial melalui sumbangan kepada golongan memerlukan.

Ketika mengupas keunikan kemajmukan masyarakat di negara ini, Steven memberitahu beliau terpaksa menyambut Tahun Baharu Cina di sebuah hospital selepas menerima nasihat doktor untuk berehat seketika.

“Saya kira keindahan Malaysia mempunyai masyarakat yang majmuk. Awal Februari ini, kita telah bersama dengan rakan penganut Hindu menyambut Thaipusam, kemudian masyarakat Cina menyambut Gong Xi Fa Cai dan saya baru lepas sambut Gong Xi Fa Cai di hospital.

“Sekarang umat Islam pula menjalani ibadah puasa dan sebulan lagi kita akan menyambut Aidilfitri,” katanya selepas menghadiri Majlis Iftar bersama Mufti Wilayah Persekutuan di sini hari ini..

Mengulas lanjut katanya kemajmukan masyarakat di negara ini tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan sebaliknya sebuah kekuatan dengan saling mengenali dan mengambil contoh yang baik antara satu sama lain ke arah merealisasikan bangsa Malaysia yang lebih hebat.

Sementara itu, pada majlis iftar tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil turut menyampaikan tazkirah selama tiga puluh minit.

Sebelum majlis berbuka puasa, Steven turut menyampaikan sumbangan dari KUSKOP dan agensi di bawahnya berjumlah RM18,000.00 kepada Rumah Bakti Al Kausar dan wang tunai RM10,000.00 serta barangan keperluan asas kepada 20 orang anak-anak yatim dari rumah amal tersebut.

Selain mengeratkan ukhwah warga dan pemegang taruh KUSKOP, penganjuran majlis iftar mencerminkan komitmen kementerian dalam menghayati nilai ramadan melalui pengukuhan kebersamaan dan keprihatian sosial.