fb fb fb fb fb

Kenaikan harga lantai padi melegakan golongan pesawah

Keputusan kerajaan menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan disambut baik golongan pesawah / Foto Hiasan / Bernama

KUALA KEDAH, 13 Februari – Keputusan kerajaan menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 satu tan disambut baik golongan pesawah yang melihatnya sebagai langkah meringankan beban mereka.

Di Kedah, rata-rata pesawah yang ditemui menyatakan rasa syukur dengan keputusan tersebut, yang sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan mereka serta menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rintihan dan keperluan golongan itu.

"Pertama sekali, Alhamdulillah, syukur. Permintaan kami sebelum ini adalah RM1,800, dan kerajaan memberi RM1,500. Sekurang-kurangnya ini dapat meringankan beban pesawah yang selama ini menanggung kos sara hidup dan kos operasi sawah yang tinggi," kata Mohd Safi Mansor.

Sementara itu, Mohd Fairuz Saad turut menyambut baik langkah tersebut namun berharap agar lebih banyak bantuan diberikan.

"Sangat baik untuk kami, tapi kalau boleh, kami harap ada kenaikan lagi. Kalau bendang sendiri, kosnya mungkin kurang sedikit, tapi bagi yang menyewa, ia sangat membebankan. Kalau boleh, subsidi racun juga dinaikkan," katanya.

Bagi Zaimon Ahmad pula, kenaikan harga lantai itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pesawah.

"RM1,500 sudah diumumkan kerajaan, jadi kita terpaksa ikut. Sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban," ujarnya.

Langkah tersebut diharapkan dapat membantu pesawah dalam menangani kos operasi pertanian yang semakin meningkat serta menjamin kestabilan bekalan beras negara.

BERITA BERKAITAN:

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN