KUALA LUMPUR, 20 November - Sebanyak RM267.5 juta telah dibelanjakan sehingga 20 November tahun ini bagi memulihkan projek perumahan swasta terbengkalai di seluruh negara.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata peruntukan itu disalurkan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah butiran pembangunan pemulihan projek perumahan terbengkalai bagi memastikan projek yang terhenti dapat disiapkan sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Menurut beliau, hanya projek yang menepati kriteria tertentu layak menerima dana kerajaan, iaitu rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah, lebih 50 peratus unit telah terjual serta projek yang mencapai kemajuan fizikal melebihi 70 peratus.
Datuk Aiman Athirah Sabu/RTM
“Bagi tujuan pemulihan, kriteria pemilihan projek perumahan terbengkalai yang dibenarkan menggunakan dana kerajaan adalah seperti berikut: pertama, projek melibatkan rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah; kedua, lebih 50 peratus unit telah terjual; dan ketiga, kemajuan fizikal projek melebihi 70 peratus.
“Sehingga 20 November 2025, kementerian telah membelanjakan sebanyak RM267,508,779.48 sebagai suntikan bagi membantu memulihkan projek perumahan terbengkalai yang memenuhi kriteria ditetapkan," katanya
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026) peringkat jawatankuasa bagi KPKT di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi tahun 2025, KPKT menerima peruntukan sebanyak RM28.05 juta untuk kerja-kerja pemulihan, dan sehingga kini RM27.67 juta telah dibelanjakan.
Datuk Aiman Athirah turut memaklumkan, bagi tahun 2026, kementerian menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM25.84 juta untuk memulihkan sembilan projek perumahan swasta terbengkalai yang dikenal pasti berpotensi dipulihkan.
“Pemulihan projek-projek terbengkalai ini lazimnya mengambil masa antara satu hingga lima tahun, bergantung kepada kompleksiti dan keunikan isu setiap projek. Pelaksanaannya melibatkan pelantikan agensi pelaksana daripada lembaga perumahan negeri serta perunding yang akan menyiapkan projek sehingga memperoleh sijil penyiapan dan pematuhan," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan status pelaksanaan Skim Sewa-Untuk-Beli (Rent-To-Own, RTO) bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Residensi Rakyat (PRR), yang kini dilaksanakan di tujuh negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sebagai langkah penambahbaikan,KPKT sedang meneliti kerjasama lebih erat bersama kerajaan negeri, institusi kewangan dan pihak berkepentingan bagi memantapkan skim sedia ada, termasuk meneroka alternatif pembiayaan serta perluasan pelaksanaan RTO supaya lebih ramai rakyat mendapat akses kepada kediaman berkualiti dan mampu milik.
Berhubung pelaksanaan konsep bina kemudian jual, kerajaan melalui Dasar Perumahan Negara menggalakkan model pembinaan 10 nisbah 90 (10:90) bagi projek perumahan swasta.
Di bawah kaedah tersebut, pembeli hanya dikenakan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada harga jualan, manakala baki 90 peratus dibayar selepas rumah siap dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta serahan milikan kosong (BP).
“Bagi pelaksanaan kaedah ini, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 atau Akta 118 serta peraturannya telah memperuntukkan Jadual I dan Jadual J sebagai perjanjian jual beli bagi pemajuan perumahan secara bina kemudian jual 10:90. Memandangkan konsep BKJ memerlukan pemaju yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh, kerajaan pada masa ini menggalakkan pelaksanaannya secara sukarela oleh pemaju yang bersedia," katanya.