fb fb fb fb fb

Harga Lantai Padi diselaraskan kepada RM1,500

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Harga Lantai Belian Padi diselaraskan daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik bermula 16 Februari ini.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, keputusan itu dibuat berdasarkan faktor kos pengeluaran padi, pergerakan harga beras dunia, serta unjuran permintaan dan penawaran beras tempatan.

"Nilai RM1,500 per tan metrik ini adalah kadar relevan bagi memastikan keseimbangan antara kepentingan pesawah, pengguna dan industri beras secara keseluruhan," katanya dalam sidang media penyelarasan harga padi dan beras di Bangunan Parlimen hari ini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan semua pihak dalam membuat keputusan berkaitan sektor pertanian, terutama golongan pesawah.

"Kerajaan bila buat sesuatu mengambil kepentingan semua pihak, paling utama penanam padi, para pengguna dan pengilang, pemborong serta peruncit," katanya.

Tambah beliau, subsidi penanaman padi di Malaysia antara yang tertinggi di ASEAN, justeru pesawah digalakkan untuk meningkatkan produktiviti hasil mereka.

"Kita kena lihat keadaan pesawah. Kalau di Sekinchan, Sabak Bernam, Sungai Besar dan beberapa tempat lain, rungutan mereka tentang harga agak kurang. Yang paling penting, kita lihat subsidi penanaman padi ini tinggi, jadi pesawah perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan hasil mereka," ujarnya.

Bagaimanapun, penyelarasan harga lantai ini hanya terpakai di Semenanjung Malaysia, mengambil kira perbezaan kos pengeluaran, produktiviti dan struktur pasaran di Sabah serta Sarawak.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di Facebook beliau berkata kerajaan komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara terus terpelihara dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

"Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan bekalan makanan negara terjamin serta kebajikan rakyat dan pesawah terus terpelihara," katanya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN