ADDIS ABABA, 20 November – Keamanan serta tadbir urus berintegriti merupakan prasyarat utama bagi menjana kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, ASEAN muncul sebagai model kestabilan serantau berikutan komitmen kukuh negara-negara anggotanya terhadap keamanan, kerjasama dan pembinaan integriti pentadbiran.
“Keamanan adalah asas pertumbuhan ekonomi. Tanpa keamanan, tiada pembangunan boleh berlaku,” katanya ketika berucap pada Afro-Malaysia Youth Forum di sini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa negara merdeka tidak wajar mengulangi kezaliman kolonialisme dalam bentuk baharu, termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan eksploitasi kekayaan negara.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menyifatkan keadaan global hari ini masih dibelenggu ‘defisit nilai’, apabila ketidakadilan dan penindasan terus berlaku berasaskan perbezaan kaum, agama atau suku.