JEMPOL, 13 Februari- Lima lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang meninggal dunia berusia 51, 31, 19, 18 dan 16 tahun.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.00 malam di Kilometer Enam Jalan Bahau-Rompin itu kereta dipandu lelaki berusia 51 tahun masuk dari arah bertentangan dan bertembung secara berhadapan hingga menyebabkan sebuah lagi kenderaan yang dipandu lelaki berusia 31 tahun berpusing.
Akibat perlanggaran berkenaan kereta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dilanggar di bahagian depan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda yang berada di belakang kenderaan itu.
Pemandu berusia 31 tahun bersama dua penumpang serta pemandu berusia 51 tahun itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta kaki.
Penumpang belakang pemandu berusia 31 itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah.
Sementara itu lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.