fb fb fb fb fb

Pelaksanaan cukai karbon 2026: Kerajaan sedia kerangka dasar

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Kerajaan sedang merangka pelaksanaan cukai karbon ke atas industri besi, keluli dan tenaga menjelang 2026 sebagai langkah menggalakkan penggunaan sumber tenaga lebih bersih serta mengurangkan pelepasan karbon.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerangka tersebut sedang disiapkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan serta input teknikal daripada kementeriannya.

"Kita sedang menyiapkan kerangka tersebut. Ia merupakan dasar yang dipelopori oleh Kementerian Kewangan, tetapi di peringkat teknikal, kita turut memberi input bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. Kita berharap cukai ini dapat menyumbang kepada perkembangan pasaran karbon negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Net Zero Emission 2050 di ibu negara.

Tambah Nik Nazmi, hasil daripada cukai karbon itu akan diperuntukkan bagi memperkenalkan teknologi hijau serta membantu peralihan sektor-sektor yang terjejas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN