ADDIS ABABA, 20 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kepentingan semangat antipenindasan dan solidariti dalam kalangan negara 'global south' ketika berucap pada Afro-Malaysia Youth Forum, seperti dikongsi menerusi Facebook beliau hari ini.
Dalam wacana yang menyingkap sejarah perjuangan bangsa-bangsa terjajah, Perdana Menteri menyentuh kembali maksud frasa L’exploitation de l’homme par l’homme atau “Exploitation of man by men”, yang menurutnya masih membentuk struktur ketidakadilan global.
“Fenomena ini bukan sekadar perampokan atau penjarahan ekonomi, tetapi turut menguasai minda dan jiwa, memaksa manusia menerima ketidaksamarataan sebagai takdir,” jelas perdana menteri.
Beliau menegaskan bahawa kesan penjajahan bukan hanya meninggalkan luka fizikal, tetapi turut meresap ke dalam nurani masyarakat, mewujudkan generasi yang dibebani warisan pahit dan pengasingan.
Datuk Seri Anwar juga menyoroti Persidangan Bandung 1955 sebagai titik kebangkitan negara-negara Asia dan Afrika untuk berdiri sebagai rakan setara, menolak dominasi penjajah serta memperkukuh hak menentukan masa depan sendiri.
“Semangat Bandung dan perjuangan tokoh seperti Fanon, Nkrumah, Nyerere dan Mandela kekal relevan ketika dunia berdepan bentuk baharu penaklukan ekonomi dan persaingan kuasa besar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda untuk memastikan negara-negara 'global south' tidak lagi menjadi mangsa struktur lama yang dibungkus semula dalam wajah moden, sebaliknya tampil sebagai penentu naratif dunia berasaskan maruah, kemuliaan insan dan kasih sayang.