PUTRAJAYA, 13 Februari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memperketat kawalan terhadap pendatang asing yang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan sempena bulan puasa yang bakal tiba.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pihaknya akan meningkatkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan dengan penglibatan Jabatan Imigresen negeri bagi memastikan hanya peniaga yang mempunyai lesen dibenarkan berniaga.
"Kita akan susun semua jadual-jadual pemeriksaan yang akan dilaksanakan. Kalau boleh saya mahu penguatkuasaan imigresen pergi ke semua tempat terutamanya di kawasan yang didapati ramai pekerja atau warga asing ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Inspektorat Penguatkuasaan di Kompleks Nasyrul Quran di sini.
Bagaimanapun beliau turut memaklumkan berkenaan pemeriksaan secara berkala akan terus dilakukan secara rutin.
Maklumat dan aduan yang diterima akan disiasat dan strategi akan disusun unutk melakukan pemeriksaan.
Dalam pada itu JIM melakukan pemeriksaan ke atas seramai 614 individu dalam satu operasi penguatkuasaan rutin di sebuah kilang solar di sini.
Zakaria Shaaban berkata daripada jumlah itu, 223 merupakan warga asing, terdiri daripada 179 rakyat Indonesia, 44 rakyat Myanmar serta beberapa individu dari negara lain dan warga tempatan.
"Pemeriksaan rutin akan dilakukan di seluruh negara jadi rakyat tidak akan berasa gusar apabila melihat warga asing berkeliaran.
"Kita sentiasa memantau dan memastikan mereka (warga asing) mematuhi undang-undang," katanya.
Menerusi operasi itu seramai 275 individu didapati memiliki pas sah yang dikeluarkan JIM dan tiada kes pelanggaran undang-undang dikesan dalam operasi berkenaan.
Beliau juga menegaskan bahawa operasi berkenaan bertujuan mendidik majikan dan pekerja tentang kepatuhan undang-undang imigresen.
Selain itu pemeriksaan secara berkala berkenaan dijalankan untuk memastikan persekitaran lebih selamat kepada rakyat tempatan.