PUCHONG, 13 Februari – Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan peniaga bazar Ramadan yang didapati menjual permit mereka kepada pihak ketiga, dan tindakan menyenarai hitam akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat.
Exco Keusahawanan Negeri, Mohd Najwan Halimi berkata tindakan tegas turut diambil ke atas penjaja yang beroperasi tanpa permit bagi memastikan peniaga berlesen tidak ditindas.
"Di Selangor, kita sentiasa memantau dan menguatkuasakan tindakan jika menerima aduan. Masalah jual tapak, jual permit dan jual lesen ini bukan hanya berlaku pada bulan Ramadan, tetapi sepanjang masa, termasuk di pasar malam dan pasar pagi. Oleh itu, pemantauan berterusan amat penting," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat dan penyerahan bazar Ramadan bagi kawasan Majlis Bandaraya Subang Jaya, di sini.
Dalam pada itu, Mohd Najwan menasihatkan peniaga bazar Ramadan agar tidak terlalu ghairah mengejar keuntungan sehingga mengabaikan kebersihan serta kualiti makanan, yang boleh menjejaskan keseluruhan operasi bazar.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi amaran bahawa lesen mereka yang menjual atau memajak permit akan dibatalkan serta-merta.