KUALA LUMPUR, 13 Februari- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan masyarakat agar tidak menyalahgunakan media sosial terutamanya menerusi kandungan berkaitan kaum, agama dan raja (3R).
Beliau menegaskan keperluan menjaga keharmonian dilihat penting dalam menangani perkara yang boleh mencetuskan persengketaan sekali gus menjejaskan perpaduan negara.
"Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya dari sudut ekonominya. Perkara ini boleh dicapai dengan bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain.
"Apabila menggunakan media sosial, perkara melibatkan 3R perlu dielakkan supaya tidak tercetus perkara yang akan menjadi punca pergaduhan dalam kalangan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Dan Warkah Penyiaran Kenaikan Pangkat Perkhidmat MAIWP di ibu negara.
Dalam pada itu beliau juga mengingatkan supaya masyarakat Malaysia terus berhati-hati agar tidak menyentuh isu yang boleh membangkitkan perselisihan pendapat.
Rakyat juga seharusnya fokus kepada perkara yang membawa kebaikan dan memperkukuh silaturahim dalam kalangan masyarakat.