KUALA LUMPUR, 13 Februari – Hasrat Malaysia untuk menjadikan Turkiye sebagai rakan dialog ASEAN dijangka membuka lebih banyak peluang dalam sektor perdagangan, perkhidmatan, dan pelaburan bagi blok serantau itu.
Penganalisis Ekonomi, Profesor Dr. Ida Md Yasin berkata, hubungan baik antara Malaysia dan Turkiye bukan sahaja mengukuhkan kerjasama dua hala, tetapi juga memberi manfaat besar kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN.
"Populasi Turkiye melebihi 80 juta penduduk, menjadikannya pasaran besar untuk peningkatan eksport barangan dan perkhidmatan.
"Berdasarkan data sebelum ini, Malaysia banyak mengeksport minyak sawit ke Turkiye serta mengimport pelbagai barangan dari negara itu.
"Beberapa syarikat Turkiye juga beroperasi di Malaysia, terutamanya dalam sektor pertahanan, termasuk teknologi dron, dan sedang berkembang ke sektor lain," katanya ketika dihubungi Berita RTM.
Katanya, kerjasama ini turut merangkumi komitmen memperkukuh hubungan dalam bidang pertahanan, keselamatan tenaga, serta sains dan teknologi.
Menurut beliau, ASEAN sebagai wilayah perdagangan memerlukan sebanyak mungkin rakan dagang bagi memperluaskan pasaran dan memperkukuh daya saing ekonomi.
Sebelum ini, ASEAN telah menjalin hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU), Kanada, New Zealand, Australia, China, dan India sebagai rakan dialog rasmi.
Pada Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan sokongan terhadap peluasan hubungan ASEAN dengan pemain global utama dalam sidang media bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.