KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Komuniti ASEAN menerima penyertaan Timor-Leste sebagai anggota dan rakan yang berfungsi dan berkesan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai anggota ASEAN, komuniti itu akan bersama-sama melangkah maju untuk memperkukuh dan membina ASEAN yang lebih padu serta berdaya tahan.
"Kami memahami cabaran, harapan dan aspirasi anda. Bersama-sama kita melangkah maju," kata beliau pada majlis resepsi bersempena kemasukan Timor-Leste ke ASEAN bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Beliau turut menzahirkan rasa gembira atas penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN serta menyifatkannya sebagai detik bersejarah yang mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan kekeluargaan dalam komuniti serantau.
Sementara itu, Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Malaysia dan semua negara anggota ASEAN atas sambutan mesra yang diberikan.
“Sekali lagi, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia serta kepada semua negara anggota ASEAN kerana telah menerima kami sebagai sebahagian daripada keluarga besar ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada semua tetamu kehormat yang bersama-sama meraikan majlis yang amat istimewa ini," kata beliau.
Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan tradisional Timor-Leste, menandakan semangat perpaduan dan keakraban antara negara anggota dalam keluarga besar ASEAN.