fb fb fb fb fb

Sistem digital PPUM diperluas ke hospital pengajar lain

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bercakap ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Transformasi Digitalisasi Pengalaman Pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pertukaran Rekod Perubatan di Bangunan Plaza PPUM di ibu negara/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Model transformasi digital yang dibangunkan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akan diperluas ke semua hospital pengajar universiti di seluruh negara bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadi berkata, inisiatif itu membolehkan perkongsian data dan rekod pesakit dilakukan dengan lebih pantas serta selamat antara hospital pengajar.

Selain menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021–2025 dan agenda pendigitalan pendidikan tinggi negara.

“Usaha ini merupakan langkah bersama Universiti Malaya yang membangunkan satu sistem pengurusan hospital dikenali sebagai Total Hospital Information System (THIS),” kata beliau selepas pelancaran Transformasi Digitalisasi Pengalaman Pesakit dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sultan Ahmad Shah Medical Centre (SASMEC) di PPUM di sini hari ini.

Pada majlis itu, PPUM dan SASMEC diwakili oleh Pengarah masing-masing, Prof Dr Nazirah Hasnan dan Prof Datuk Dr Mohamed Saufi Awang.

Menurut Datuk Seri Dr Zambry, melalui sistem integrasi data itu, PPUM memperkenalkan dua inovasi utama iaitu aplikasi mudah alih Patient Journey dan Virtual Ward.

Ia membolehkan pesakit mengurus perjalanan rawatan serta menerima penjagaan kesihatan dari rumah.

“Kalau pesakit berada di tempat lain, hospital lain boleh terus tahu keadaan pesakit melalui sistem ini. Ia membolehkan data pesakit dikongsi secara langsung dan selamat.

“Dengan sistem aplikasi ini, pesakit tidak perlu bersesak di hospital. Doktor boleh pantau dari jauh berdasarkan data yang dikemas kini,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan aspek keselamatan dan privasi maklumat pesakit kekal menjadi keutamaan dalam pelaksanaan sistem berkenaan.

Beliau yakin semangat kerjasama antara universiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membolehkan sistem ini diperluas dan ditambah baik secara berperingkat di semua hospital pengajar universiti.

“Kita ada banyak hospital universiti, dan saya harap satu hari nanti tempat-tempat lain pun boleh menggunakan sistem ini,” ujarnya.

Ketika ini, Malaysia mempunyai 10 hospital universiti dengan satu lagi bakal dibangunkan di Sabah, menjadikan keseluruhannya 11 hospital pengajar yang berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian hospital pintar di bawah KPT.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ