KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Malaysia dan Korea Selatan bersepakat untuk terus memperkukuh hubungan dua hala sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen tersebut selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menurut Datuk Seri Anwar, hubungan erat antara Malaysia dan Korea Selatan kini berlandaskan kerjasama strategik yang dimeterai pada tahun 2024 dan terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif bersama.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan, infrastruktur dan pembangunan bandar pintar,” katanya.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan potensi kerjasama baharu dalam sektor teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, selaras dengan perkembangan semasa dan keperluan masa depan ekonomi serantau.
Malaysia turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan republik itu dalam memacu pertumbuhan mampan serta memperkukuh manfaat bersama antara kedua-dua negara.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada Presiden Jae Myung atas kepimpinannya dalam penganjuran Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025, yang dijangka menjadi platform penting memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan kerjasama global.