fb fb fb fb fb

Presiden Afrika Selatan terima Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa UM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa menerima Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Malaya (UM) dalam Istiadat Konvokesyen Khas yang disempurnakan oleh Tuanku Canselor, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini hari ini. 

Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan UM terhadap sumbangan besar beliau dalam diplomasi global, penyelesaian konflik dan pembaharuan institusi antarabangsa.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman. 

Dalam ucapannya, Ramaphosa menzahirkan penghargaan kepada Malaysia yang konsisten menyokong perjuangan menamatkan apartheid (pengasingan/penyisihan), termasuk pendirian tegas Malaysia sejak era kepimpinan Tunku Abdul Rahman lagi.

“Ini adalah penghormatan kepada nilai keadilan dan kemanusiaan yang kita kongsi,” katanya.

Beliau turut menekankan hubungan erat bersejarah antara Malaysia dan komuniti Melayu-Cape di Afrika Selatan, yang membawa Islam, budaya dan nilai kesamarataan sejak abad ke-17.

Beliau juga menghargai sokongan Malaysia terhadap Presidensi G20 Afrika Selatan, yang memberi tumpuan kepada ketahanan bencana, kelestarian hutang, pembiayaan peralihan tenaga dan pembangunan mineral kritikal.

Presiden Afrika Selatan itu turut menyatakan sokongan bersama Malaysia terhadap hak rakyat Palestin, menyifatkan perjuangan tersebut sebagai sebahagian daripada semangat solidariti Bandung.

Mengakhiri ucapannya, beliau mendedikasikan anugerah berprestij itu kepada semua rakyat di dunia yang terus berjuang menentang diskriminasi, kemiskinan dan ketidakadilan.

Trainee