fb fb fb fb fb

PM tiba di Afrika Selatan bagi hadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Pangkalan Tentera Udara Waterkloof, Pretoria, Afrika Selatan / Foto RTM

PRETORIA, 21 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Afrika Selatan, pukul 6.38 malam waktu tempatan pada Khamis (12.38 pagi Jumaat waktu Malaysia) bagi Lawatan Kerja dan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20).

Pesawat yang membawa beliau dan delegasi selamat mendarat di Pangkalan Tentera Udara Waterkloof, Pretoria sebelum disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Datuk Yubazlan Yusof bagi pihak Malaysia; Timbalan Menteri Pertahanan dan Veteran Tentera Afrika Selatan, Mejar Jeneral (B) Bantubonke “Bantu” Harrington Holomisa dan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama untuk Asia Timur dan Oceania, Thandiwe Fadane yang mewakili Afrika Selatan.

Lawatan kerja Datuk Seri Anwar selama empat hari bermula 20 hingga 23 November ke Afrika Selatan adalah bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg sebagai tetamu Presiden negara itu, Matamela Cyril Ramaphosa.

Perdana Menteri diundang atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Peranan Afrika Selatan sebagai Presiden G20 yang bertemakan Solidariti, Kesaksamaan, Kemampanan, juga dilihat bertepatan bagi sebuah negara sedang membangun mengemudi agenda global.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pegawai-pegawai kerajaan serta delegasi perniagaan Malaysia.

EMMI NORALIZA ADNAN