SHAH ALAM, 20 November- Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya wujud unsur pengabaian terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya, dalam insiden kemalangan membabitkan kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Selasa lalu.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian dan akan memastikan kontraktor yang terlibat tidak terlepas dari sebarang tindakan.
Siasatan dilakukan bawah 34C(1) CIDB 1994 (Akta 520).
"CIDB telah mengeluarkan arahan supaya kerja pembinaan di sekitar tapak insiden itu diberhentikan serta-merta pada 19 November, sehingga punca kejadian itu dikenal pasti dan aspek keselamatan ditambah baik dan terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kelengkapan ‘Launching Nose’ Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) Jabatan Kerja Raya (JKR), di Shah Alam
Dalam kejadian tersebut, seorang wanita nyaris maut selepas kenderaannya dihempap runtuhan binaan projek berkenaan.