MUAR, 27 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa semangat kemerdekaan sebenar perlu lebih daripada sekadar menggantikan penjajah dengan pemimpin tempatan.
Sebaliknya, erti kemerdekaan hakiki menuntut perubahan sistem, pemikiran dan amalan kepimpinan telus dan beramanah demi kemajuan rakyat dan negara.
Beliau menyentuh kepentingan memahami sejarah perjuangan kemerdekaan, khususnya peranan Johor sebagai antara pusat awal kebangkitan nasionalisme negara dan tokoh kemerdekaan seperti Almarhum Datuk Onn Jaafar.
"Merdeka bukan datang secara spontan. Ia lahir daripada daya juang, keberanian dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu, termasuk Almarhum Datuk Onn Jaafar yang mengasaskan perjuangan menolak penjajahan dan membangkitkan semangat kebangsaan dari bumi Johor ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di sini hari ini.
Menyentuh tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, Perdana Menteri menekankan bahawa asas kepada negara yang benar-benar merdeka ialah keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan keadilan sosial.
"Kita tidak mahu hanya membangun gedung dan industri, tetapi pada masa yang sama meruntuhkan nilai dan meminggirkan rakyat. Pembangunan mesti seiring dengan kebajikan," katanya lagi.
Malaysia juga mampu menjadi contoh kepada dunia melalui pelaksanaan keadilan, penolakan terhadap rasuah, serta kebebasan berfikir yang menyumbang kepada kebaikan sejagat.
Datuk Seri Anwar juga menyeru agar kepimpinan hari ini membebaskan negara daripada sikap menindas dan mementingkan diri yang menterjemah erti kemerdekaan bukan hanya sekadar menukar pemimpin, tetapi menukar sistem lama yang rosak.
"Kalau menjadi pemimpin, sama ada di peringkat negeri, daerah atau persekutuan, jangan ‘sakau’ duit rakyat. Ini bukan semangat merdeka. Kita mesti bertanggungjawab kepada Allah, raja, dan rakyat," tegasnya.
Mengulas isu semasa, Perdana Menteri menjelaskan pendekatan kerajaan dalam menangani hutang negara, rasionalisasi subsidi, serta usaha meningkatkan pendapatan rakyat melalui gaji minimum dan pengagihan kekayaan lebih adil.
"Saya boleh populis, bagi itu ini, tetapi hutang siapa nak bayar? Anak cucu kita. Saya pilih jalan yang susah kerana kita mahu negara ini diselamatkan dan bukan hanya dilambakkan hutang demi populariti sementara," jelas beliau.
Beliau mengulangi bahawa cukai dan kenaikan tarif tertentu hanya dikenakan ke atas golongan atasan dan kaya, manakala rakyat berpendapatan rendah terus diberikan perlindungan dan bantuan.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap semangat luar biasa yang ditunjukkan rakyat Johor, khususnya di Muar yang menjadi lokasi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025.
"Johor ini semangatnya lain macam. Sebab itu kita pilih Muar. Kita mahu gilap semula semangat perjuangan kemerdekaan dari negeri ini," katanya.
Mengakhiri ucapannya, Datuk Seri Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mengibarkan Jalur Gemilang di seluruh negara, bukan sekadar sebagai simbol, tetapi sebagai tanda kebanggaan dan tekad membina Malaysia lebih bermaruah dan adil.