
GEORGE TOWN, 10 Ogos – Kementerian Ekonomi kini sedang menjalankan proses saringan terhadap cadangan peruntukan pembangunan yang dikemukakan oleh pelbagai kementerian dan agensi sebagai persediaan merangka Belanjawan 2027.
- Proses belanjawan melibatkan beberapa peringkat termasuk pengumpulan cadangan agensi dan penyelarasan kementerian.
- Kementerian jangka proses saringan selesai menjelang pertengahan bulan ini.
- Menilai peruntukan baharu dan projek sambungan untuk memastikan pelaksanaan pembangunan berterusan dan berkesan.
- Perancangan 2027 menekankan pelaksanaan RMK13 serta keperluan RP2 bagi infrastruktur, dana dan industri HGHV.
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata proses penyediaan belanjawan melibatkan beberapa peringkat termasuk pengumpulan cadangan daripada agensi di bawahnya sebelum cadangan itu diserahkan kepada kementerian untuk diselaraskan.
“Jangkaan saya, segala proses di Kementerian Ekonomi akan selesai menjelang pertengahan bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Rintis Bakat STEM di Tech Dome Penang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Akmal Nasrullah berkata proses itu bukan sahaja meneliti cadangan peruntukan baharu, malah turut mengambil kira projek sambungan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan yang dirancang dapat diteruskan secara berkesan.
Beliau berkata kementerian turut memastikan perancangan yang digariskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) diambil kira dalam penyediaan peruntukan pembangunan 2027, khususnya dari segi keupayaan kerajaan melaksanakan agenda pembangunan yang telah dirancang.
“Sebahagiannya telah diluluskan dalam RP1 (Rolling Plan 1) tetapi untuk RP2, sudah pasti ada beberapa perkara dari segi keperluan sama ada infrastruktur, dana atau bagaimana pembangunan kerajaan dapat dipercepat ke arah industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) yang dicadangkan,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya, perancangan pembangunan bagi 2027 akan memberi penekanan kepada usaha memperkasakan pelaksanaan RMK13.