fb fb fb fb fb

KEMAS terus perkasa pendidikan awal kanak-kanak selaras DPD

Datuk Rubiah Wang

KUALA LUMPUR, 15 Disember - Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah terus memperkasa pendidikan awal kanak-kanak dengan memberi penekanan kepada pendidikan digital selaras Dasar Pendidikan Digital (DPD).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, pelaksanaan pendidikan di Tabika dan Taska KEMAS dilaksanakan melalui pelbagai program, aktiviti serta modul pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan melahirkan kanak-kanak yang fasih digital sejak peringkat awal.

"Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Program Smart Classroom@KEMAS yang akan dilaksanakan secara menyeluruh mulai tahun hadapan sebagai kesinambungan kepada sistem pendidikan e-STREAM dan model tabika berteknologi tinggi.

"Program ini mengintegrasikan teknologi digital dalam aktiviti kurikulum, kokurikulum serta aktiviti luar bilik darjah bagi melahirkan modal insan yang fasih digital," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Datuk Abdul Halim Suleiman berkenaan pelaksanaan tahap pendigitalan bahan pembelajaran di Tabika KEMAS, termasuk penggunaan alat bantu mengajar digital serta penyediaan latihan kepada guru bagi menyokong pembelajaran abad ke-21.

Dalam pada itu Datuk Rubiah memaklumkan, pada tahun ini dua kelas Smart Classroom@KEMAS telah dilaksanakan secara rintis di Tabika KEMAS Rafflesia, Presint 5 Putrajaya dan Tabika KEMAS Muafakat di Johor.

Program berkenaan akan diperluaskan secara berfasa mulai tahun 2026 hingga 2027, melibatkan satu tabika bagi setiap negeri pada tahun 2026, sebelum disasarkan sebanyak 160 buah Tabika Smart Classroom@KEMAS diwujudkan menjelang tahun 2027.

Setiap tabika Smart Classroom@KEMAS akan dibekalkan dengan akses internet, 10 unit tablet dengan nisbah satu tablet bagi tiga kanak-kanak, papan interaktif, komputer riba mengikut bilangan guru, peralatan pembelajaran robotik serta bahan pembelajaran digital.

Bahan tersebut merangkumi penggunaan teknologi realiti terimbuh (AR), kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai teknologi digital lain yang bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun sebagai sokongan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, KEMAS turut membekalkan sebanyak 500 unit papan pintar (smartboard) pada tahun 2024 dan 1,100 unit komputer riba pada tahun ini bagi menyokong ekosistem pendigitalan pendidikan.

Pada masa sama, akses internet turut diperluaskan apabila sebanyak 750 buah Tabika KEMAS kini telah mempunyai kemudahan berkenaan.

Bagi memperkukuh kandungan digital, KEMAS turut mempelbagaikan bahan dan aktiviti dalam laman sesawang i-Belajar sebagai repositori sumber pendidikan berbentuk pusat sehenti untuk kegunaan keseluruhan ekosistem pendidikan awal kanak-kanak.

Selain modul e-STREAM, KEMAS juga menggalakkan pembangunan kandungan digital bukan sahaja oleh guru, malah melibatkan kanak-kanak bagi melahirkan lebih ramai inovator digital dalam kalangan warga KEMAS.

Dalam usaha meningkatkan kompetensi guru, KEMAS menyediakan kursus latihan kompeten digital dengan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 1,000 pendidik masyarakat dilatih bagi memenuhi keperluan pendidikan era digital.

Usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik termasuk Universiti Kuala Lumpur, Kolej Poly-Tech MARA, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta kursus anjuran Institut Latihan KEMAS di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI