Kemas kini sistem operasi telefon untuk terima amaran kecemasan EWS – MCMC

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 19 November – Orang ramai digesa mengemas kini sistem operasi telefon mudah alih masing-masing sebagai persediaan menerima amaran kecemasan menerusi Sistem Amaran Awal (EWS).

RINGKASAN BERITA AI
  • EWS menggunakan Cell Broadcast System untuk menghantar amaran kecemasan serentak kepada telefon mudah alih serasi dalam kawasan geografi yang ditentukan.
  • EWS tidak memerlukan muat turun aplikasi, pendaftaran atau langganan; peranti minimum: iPhone 11 dengan iOS 27.2, Android 12 dan Huawei EMUI 16.
  • Pasang kemas kini perisian terkini, mulakan semula telefon dan pastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan; patuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyatan berkata EWS merupakan sistem amaran kecemasan negara yang sedang dilaksanakan secara berfasa.

“Sistem itu menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) yang membolehkan amaran kecemasan dihantar secara serentak kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang dikenal pasti,” katanya.

Jelas MCMC, EWS tidak memerlukan pengguna untuk memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan perkhidmatan khusus.

“Sebagai panduan awal, keperluan minimum peranti bagi menyokong penerimaan amaran EWS adalah seperti berikut, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.

“Apple iPhone; iPhone 11 dan model lebih baharu yang menggunakan iOS 27.2 atau versi terkini.

“Android; Telefon yang menggunakan Android 12 atau versi terkini, Huawei; Telefon yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini,” kata MCMC.

MCMC menambah, pengguna turut disarankan supaya memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia untuk peranti masing-masing, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan, sekiranya berkenaan.

Sementara itu, pelaksanaan EWS melibatkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi memperkukuh keupayaan negara menyampaikan amaran kecemasan dengan lebih pantas dan bersasar.

“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat rasmi dan mematuhi arahan pihak berkuasa apabila menerima amaran kecemasan.

“EWS melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana,” kata MCMC lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.