(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empati, kiri) dan timbalannya Datuk Rubiah Wang (tiga, kiri) menunjukkan Pelan Strategik 2022-2026 KEMAS pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Bulan Februari/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 9 Februari- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan menambah baik modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) melibatkan 10,741 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) di seluruh negara bermula sesi persekolahan 2023.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata PPI akan memberi fokus kepada pengisian modul, tenaga pengajar bertauliah serta kaedah pembelajaran yang interaktif.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat dan negara madani
"Perimbangan pendidikan itu, dunia dan ukhrawi harus diberikan nafas semula dalam kurikulum tabika KEMAS ini.
(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid)
"Ini penting kerana kita mahu sahsiah, personaliti yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan masyarakat madani dan negara madani berdasarkan kemajmukan perbezaan bangsa, budaya dan agama, ada keserasian semua pelajar-pelajar apabila mereka berada di peringkat pertengahan", katanya.
Beliau ditemui dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran Pelan Strategik 2022-2026 di Majlis Perhimpunan Bulanan kementerian itu di Putrajaya.
KEMAS mempunyai 159,295 orang kanak-kanak berusia 5 sehingga 6 tahun beragama Islam daripada jumlah keseluruhan 208,358 murid.
Manakala, 9,375 orang pendidik masyarakat TABIKA beragama Islam daripada 10,059 orang secara kumulatif yang akan terlibat dalam modul baharu berkenaan.