SEREMBAN, 18 Februari- Bekalan kelapa import dari Indonesia digunakan bagi menampung permintaan di pasaran susulan kekurangan kelapa tempatan sejak Ogos tahun lalu, menurut peniaga.
Tinjauan RTM di sekitar Seremban hari ini mendapati peniaga dan pengusaha santan beralih kepada kelapa import berikutan bekalan kelapa kampung yang terhad.
Peniaga kelapa dan santan, Muhammad Al Arif Fajar, 32, berkata dia mula menjual kelapa import sejak akhir tahun lalu kerana permintaan pelanggan kekal tinggi terutama menjelang Ramadan.
"Bekalan kelapa kampung semakin berkurangan, jadi kami terpaksa menggunakan kelapa import. Kekurangan ini sudah berlaku sejak Ogos tahun lalu akibat musim melawas dan harga kelapa import pula naik hampir setiap minggu, daripada RM1.80 sekilogram kini meningkat kepada RM3," katanya kepada pemberita.
Selain Indonesia, peniaga turut mendapatkan bekalan kelapa dari Bagan Datuk, Perak serta sekitar Mambau di sini.
Peniaga santan segar, Nurul Shahida Mohamad Isa, 33, memaklumkan dia mendapatkan bekalan kelapa kampung dari Johor dan Pahang, namun tetap bergantung kepada kelapa import bagi memenuhi permintaan.
"Kami sebelum ini hanya menggunakan kelapa kampung, tetapi kini terpaksa mencampur dengan kelapa import," katanya.
Bekalan kelapa dalam negara dilaporkan merosot 60 peratus akibat musim melawas (buah tidak menjadi) dan dijangka pulih menjelang Mei depan.
BERITA BERKAITAN