KOTA BHARU, 9 Februari - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan memberi jaminan bekalan kelapa di negeri itu mencukupi menjelang musim perayaan.
Pengarahnya Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, usaha untuk menstabilkan bekalan makanan tersebut sedang giat dilakukan.
Beliau berkata setakat akhir Januari lalu, FAMA negeri sudah menerima 10,000 kilogram (kg) dan secara keseluruhan bekalan yang akan diperoleh dalam tempoh tiga bulan adalah sebanyak 30,000 kg.
"Kita pun terima maklumat daripada setiap jajahan santan dan kelapa yang diperlukan terutama musim perayaan ini dan daripada jabatan dan agensi bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga .
"Jadi kita bekerjasama maklumat tersebut supaya kita boleh sesuaikan daripada segi permintaan dan bekalan, jadi kita harapkan supaya inisiatif yang di buat FAMA sekarang ini bila menjelang musim perayaan nanti, masalah kelapa ini tidak berlaku," kata Wan Faizatul.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Famazara Agro Educare di Kampung Telok Panji, Kota Bharu yang turut di hadiri Pengasas Bizara Educare Centre Wan Zakaria Wan Abu Bakar.
Pada masa sama, beliau berkata FAMA negeri juga telah mengenal pasti pemborong serta mana-mana pengusaha kelapa untuk dibekalkan kelapa itu dengan harga jualan antara RM2.80 hingga RM3.00 sekilogram.
Mengulas lanjut, Wan Faizatul berkata pihaknya menerima bekalan berkala termasuk dari Indonesia melalui ibu pejabat FAMA dan ia diagihkan secara sama rata bersama-sama negeri lain.
Dalam pada itu FAMA Kelantan menyumbang 296 pelbagai jenis anak pokok bagi membangunkan Agro Educare sebagai pusat rujukan pertanian kepada kanak-kanak istimewa.
Projek perintis berkenaan dijalankan melalui kerjasama strategik antara FAMA Kelantan dan Bizara bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak istimewa mengenai asas pertanian dan florikultur.
"Projek dan laman FAMA Kelantan dan Bizara ini akan dapat memberikan pendedahan positif kepada anak-anak bukan sahaja untuk mereka belajar berkenaan alam dan pada masa sama belajar juga berkenaan kepentingan pertanian dan kepentingan agromakanan," katanya.