JOHOR BAHRU, 16 Februari- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan kelapa di negara ini mencukupi bagi memenuhi keperluan sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan akan datang.
Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Sekuriti Makanan dan Operasi) Shahrizan Sudiman berkata beberapa langkah intervensi telah diambil termasuk mendapatkan 640 metrik tan kelapa setiap bulan dari Indonesia, Sabah dan Sarawak bagi menampung permintaan.
"Setakat ini, ia berjalan seperti yang dirancang dan bekalan dari Sabah serta Sarawak dijangka mula memasuki Semenanjung pada 20 haribulan (Februari) ini.
"Kami beri jaminan bekalan (kelapa) mencukupi daripada sumber-sumber berkenaan.
"Kami juga akan berkolaborasi dengan pengusaha dan pemborong tempatan bagi memastikan bekalan mencukupi," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan Pasar Tani peringkat Negeri Johor di Kempas di sini hari ini.
Beliau berkata bekalan kelapa tersebut akan disalurkan ke semua pusat operasi FAMA di seluruh negara sebagai langkah proaktif bagi menangani sebarang kekurangan di pasaran.

Shahrizan Sudiman/RTM
BERITA BERKAITAN