fb fb fb fb fb

200 warga emas sertai Program Penuaan Sihat dan Cergas DUN Banting

Anfaal (tengah) beramah mesra bersama ahli MyChampion dalam Program Penuaan dan Cergas DUN Banting, baru-baru ini/Jabatan Kesihatan Negeri Selangor

BANTING, 18 Februari- Kira-kira 200 warga emas menyertai Program Penuaan Sihat dan Cergas Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting pada Sabtu lalu bertujuan untuk mengenal pasti status kesihatan mereka dan meningkatkan kesedaran mengenai isu keuzuran dalam kalangan warga emas.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata program itu diadakan sebagai persediaan menghadapi Malaysia yang dijangka menjadi negara tua menjelang 2030.

Menurut beliau, program berkenaan juga bertujuan melaksanakan intervensi awal bagi meningkatkan kemandirian dan kualiti hidup warga emas.

"Program yang dianjurkan ini juga bertujuan untuk mengenal pasti status kesihatan warga emas dalam komuniti supaya intervensi awal dapat dilaksanakan,” katanya dalam ucapan beliau di Dewan Sri Jugra di sini.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program tersebut, antaranya saringan kesihatan, ceramah, dan pameran kesihatan daripada pelbagai agensi. Trak Wellness on Wheels (WoW) turut menyediakan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan dengan pendekatan jangkau luar termasuk penyampaian maklumat kesihatan, pendidikan kemahiran hidup sihat dan promosi kesihatan kepada masyarakat.

Anfaal turut meluahkan rasa terima kasih kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar perubatan yang turut menyediakan garis panduan serta memberi ceramah kesihatan, selain mengajarkan senaman untuk warga emas yang boleh dilakukan di rumah dengan menggunakan getah rintangan (resistance band).

Seramai 15 ahli MyChampion daripada pelbagai pasukan turut hadir untuk membantu melancarkan program ini. Program itu juga selaras dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat dan sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat sepanjang hayat.

 

1802 JKNS PROGRAM PENUAAN 2Anfaal sedang mencuba salah satu aktiviti Trak WoW semasa Program Penuaan dan Cergas DUN Banting, baru-baru ini / JKNS

 

1802 JKNS PROGRAM PENUAAN 3Anfaal (lima dari kanan) semasa mengunjungi Trak WoW dalam Program Penuaan Sihat dan Cergas DUN Banting, baru-baru ini / JKNS

SITI AISHAH MD ISA