fb fb fb fb fb

Keganasan rumah tangga & gangguan seksual, wanita perlu berani buat laporan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ditemui dalam Program Semarak Skuad Waja Negeri Sarawak di Kuching

KUCHING, 17 Februari- Wanita diminta berani tampil melaporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya berlaku kes keganasan dalam rumah tangga dan gangguan seksual.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu penting untuk membanteras keganasan terhadap wanita yang menjadi tanggungjawab semua pihak.

Jelasnya, terdapat kes mangsa menarik semula laporan berikutan takut anak-anak turut menjadi mangsa keganasan.

Justeru, beliau berharap pelaksanaan Program Skuad Waja yang ditubuhkan di peringkat komuniti terus dipertingkat dalam membantu mangsa merujuk kes kepada pihak berwajib dan mendapatkan bantuan profesional.

Pada tahun 2023, sebanyak 473 kes rumahtangga direkodkan berbanding 624 kes pada tahun 2022.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas perasmian Program Semarak Skuad Waja Negeri Sarawak di Kuching.

Sementara itu, Program Semarak Skuad Waja Negeri Sarawak 2024 diadakan bertujuan untuk meluaskan pemahaman dan kesedaran mengenai peranannya dalam membantu komuniti pelbagai etnik dan latar belakang di Sarawak.

Turut diadakan pada program itu, sesi penerangan dan ceramah, antaranya menyentuh mengenai Perundangan Hak-hak Wanita dan Kenali Gangguan Seksual.

ROSLINA BINTI DIN