Premis kibar Jalur Gemilang, bendera Johor terbalik diarah tutup sementara

Facebook: Mohd Jafni Md Shukor

KULAI, 17 Ogos- Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menyentuh penghormatan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor susulan insiden kedua-dua bendera itu dipasang secara terbalik di sebuah premis perindustrian di sini baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis Perbandaran Kulai menutup sementara premis sehingga syarikat beri penjelasan dan lengkapkan perakuan Aku Janji.
  • Tindakan diambil mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.
  • Pejabat Daerah Kulai menyelaraskan tindakan bersama MPKu dan agensi berkaitan; polis menjalankan siasatan, pengarah akan dipanggil.
  • Pemilik dan industri diingatkan pastikan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor betul, tertib dan dihormati tanpa alasan kecuaian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata kejadian itu tidak boleh dianggap remeh, meskipun kedua-dua bendera berkenaan telah diperbetulkan serta-merta.

“Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) telah mengambil tindakan menutup sementara premis berkenaan sehingga pihak syarikat tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Mohd Jafni berkata tindakan itu diambil berdasarkan Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.

Menurut beliau, Pejabat Daerah Kulai turut menyelaras tindakan susulan bersama MPKu dan agensi berkaitan bagi memastikan perkara itu ditangani mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sementara itu, beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.

“Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan” katanya.

“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau syarat yang berkuat kuasa, tindakan selanjutnya mesti diambil tanpa pilih kasih.” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Johor supaya memastikan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor dibuat dengan betul serta mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa.

“Pastikan setiap pemasangan bendera dibuat dengan betul, tertib dan penuh rasa tanggungjawab. Alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memandang ringan penghormatan terhadap simbol kedaulatan negara dan negeri.

“Kerajaan Negeri Johor tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor,” tegas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.