
LANGKAWI, 17 Ogos – Sebuah bot pukat tunda Zon B ditahan ketika beroperasi kira-kira 3.9 batu nautika dari Pulau Singa Besar di sini, kerana disyaki melanggar syarat lesen dan menceroboh kawasan larangan menangkap ikan.
- Jabatan Perikanan tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran syarat lesen.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, termasuk menangkap ikan dalam jarak kurang lima batu nautika.
- Siasatan turut melibatkan penggunaan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
- Kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun; laporkan menerusi FISHCOM 03-8888 5019.
Penahanan dilakukan enam anggota Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Langkawi, susulan aduan daripada nelayan.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata, keseluruhan nilai sitaan membabitkan bot berkenaan dianggarkan RM200,000.
Beliau berkata, bot terbabit diserahkan kepada pegawai penyiasat Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Langkawi untuk siasatan lanjut.
“Jabatan Perikanan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar syarat yang ditetapkan demi melindungi sumber perikanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melanggar syarat lesen, termasuk menangkap ikan dalam jarak kurang lima batu nautika dari pesisir pantai atau pulau terdekat.
Siasatan turut meliputi penggunaan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
Mengikut pindaan Akta Perikanan 1985 melalui Akta A1780, kesalahan bagi individu atau bot tempatan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pejabat Perikanan Negeri Kedah turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang melanggar Akta Perikanan.
Sebarang maklumat mengenai kesalahan di bawah akta berkenaan boleh disalurkan menerusi talian aduan FISHCOM 24 jam di 03-8888 5019.