Wanita baru 3 hari nikah, bekas suami direman kes tanam janin

Suspek dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Pasir Puteh pada Isnin/RTM

PASIR PUTEH, 17 Ogos- Seorang wanita dan bekas suaminya direman empat hari bagi membantu siasatan kes penemuan janin yang ditanam di tepi sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang, Kuala Krai, dua tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dan pembuangan mayat secara sulit.
  • Wanita 30 tahun dan bekas suami 32 tahun menyerah diri di IPD Kuala Krai; tangkapan susulan selepas lelaki membuat laporan polis.
  • Siasatan awal: wanita dipercayai gugurkan janin lima bulan pada 2024, tanam di tepi rumah; pasangan sudah bercerai.

Perintah reman sehingga 20 Ogos itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Fadhli Nik Azlan di Mahkamah Majistret Pasir Puteh hari ini selepas membenarkan permohonan polis.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Mohd Maizan Mustafa berkata wanita berusia 30 tahun dan bekas suaminya, 32, ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai kira-kira 10.30 malam Ahad.

Beliau berkata tangkapan dibuat selepas lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu membuat laporan polis kira-kira 11.00 pagi hari sama berhubung kejadian berkenaan.

Siasatan awal mendapati wanita yang baru melangsungkan perkahwinan tiga hari lepas itu dipercayai menggugurkan kandungan berusia lima bulan pada 2024 sebelum menanam janin berkenaan di tepi rumah.

Pasangan itu telah bercerai dan lelaki berkenaan dipercayai membuat laporan polis selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Terdahulu, kedua-dua mereka tiba secara berasingan di pekarangan Mahkamah Majistret Pasir Puteh kira-kira pukul 8.50 pagi bagi prosiding permohonan reman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.