fb fb fb fb fb

'Keep Malaysia Clean', tingkat keberkesanan usaha basmi gejala rasuah - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 1 Oktober- Usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkenal inisiatif 'Keep Malaysia Clean' (KMC), satu langkah terpuji ke arah membersihkan negara daripada amalan rasuah secara lebih holistik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sesebuah negara perlu didirikan atas idealisme kepimpinan yang telus serta menolak budaya ketirisan serta salah laku rasuah.

"Oleh sebab itu, kita perlu saling ingat mengingati bahawa kalau angkat martabat, harakat, darjat Malaysia sebagai negara hebat, seluruh kekuatan harus kita kerahkan.

Ini termasuk tekad politiknya, jentera kerajaan dan badan pengenalan kuasa kerana SPRM itu menjadi satu tonggak untuk memantau dan memastikan idealisme itu tidak terhakis dalam satu sistem kepimpinan," kata Datuk Seri Anwar, hari ini.

Datuk Seri Anwar berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM Ke-58 dan Peluncuran KMC, di sini.

Beliau turut menegaskan, budaya antirasuah harus menjadi tonggak dan amalan dalam dasar kerja, kepimpinan dan pentadbiran negara.

"Negara hebat dan kaya seperti mana sekali pun tidak mungkin dapat bertahan kalau ketirisan berlaku, rasuah terus menular. Sejarah juga membuktikan pasang surut tamadun kerana kerosakan, kebobrokan sistem akibat rasuah," tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM