fb fb fb fb fb

Kedutaan China hulur bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Terengganu

Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas banjir pada Majlis Penyerahan Bantuan Kemanusiaan di SK Pulau Rusa, hari ini/Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 12 Januari – Barangan keperluan asas bernilai RM50,000 telah disalurkan kepada 500 penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah ini oleh Kedutaan Republik Rakyat China dengan kerjasama Yayasan Ikram Malaysia.

Antara barangan keperluan yang diberikan adalah toto, bantal, selimut dan tuala.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ikram Malaysia, T.S Dr. Zaharuddin Saidon, berkata bantuan ini tidak hanya tertumpu di daerah ini, tetapi akan diperluaskan ke daerah lain yang terjejas akibat bencana banjir.

“Sokongan berterusan China kepada Yayasan Ikram Malaysia mencerminkan solidariti dan hubungan erat antara rakyat Malaysia dan negara itu khususnya dalam menghadapi cabaran kemanusiaan seperti bencana banjir,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa, di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa nilai bantuan yang diberikan bergantung kepada keperluan semasa dan tidak terhad kepada negeri-negeri tertentu sahaja.

Pada majlis itu seramai 250 individu menerima sumbangan yang disampaikan oleh Duta Besar Republik Rakyat China, Ouyang Yujing.

GRACE AISYAH KEDAYAN