KUALA NERANG, 1 Disember - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) optimis membangunkan 'Food Valley' di kawasan operasinya sebagai usaha menangani isu keterjaminan makanan serta meningkatkan pengeluaran pertanian dan makanan negara.
Permohonan bajet sedang diusahakan daripada agensi itu bagi Rancangan Malaysia ke-13 dan KEDA Food Valley merupakan salah satu fokus dalam peruntukan bajet pembangunan KEDA bagi RMK-13.
Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata, KEDA akan memohon peruntukan KEDA Food Valley bagi RMK-13 sebanyak RM12 juta dengan permulaan awal adalah pada Rolling Plan 1 (RP1) RMK 13 dengan RM2 juta.
Menerusi peruntukan itu, KEDA akan mewujudkan 'Food Valley' melibatkan 593 ekar tanah di daerah-daerah dalam operasi KEDA.
"Daerah yang terlibat adalah daerah-daerah yang besar yang mana majoritinya adalah terdiri daripada petani seperti di Baling, Padang Terap dan Sik. Itu antara daerah terbesar termasuk juga di Langkawi.
"Yang mana terdapat tanah-tanah KEDA dan tanah-tanah terbiar yang boleh kita bangunkan sebagai 'Food Valley' nanti. Insha-Allah inisiatif KEDA untuk kita memastikan bahawa bekalan makanan ini mencukupi untuk semua rakyat Malaysia khususnya di Kedah," kata Ismasuhaimi.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Ladang Ayam Organik 'Reban Wawasan' di Kampung Pokok Machang, di sini.
Hingga tahun 2024 KEDA telah mengusahakan 1,668.23 ekar tanah untuk tanaman seperti padi, pisang, nanas, jagung, tembikai, akuakultur dan ternakan lembu yang memberikan pulangan pendapatan berjumlah RM10.17 juta.
Projek ternakan ayam organik yang diusahakan Mohd Rosli Hasyim diternak dalam persekitaran semula jadi tanpa penggunaan bahan kimia sintetik, antibiotik atau 'hormone' pertumbuhan.
Anak ayam yang berusia sebulan diberi makan dedak khas yang diproses sendiri berasaskan sayur-sayuran, hampas kelapa dan bahan tambahan lain.
Rosli turut menyokong penuh usaha KEDA untuk melaksanakan KEDA Food Valley bagi menampung keperluan bekalan makanan negara.
"Sangat-sangat baik, memang perlulah kalau ada jabatan kerajaan yang nak buat seperti ini, kita sangat-sangat sokonglah. Kita pastikan menjayakan usaha ini," kata Rosli.