fb fb fb fb fb

Kebolehpasaran graduan UPM capai 99.4 peratus

Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencapai 99.4 peratus sekali gus membuktikan keupayaan universiti itu dalam melahirkan graduan berdasarkan permintaan industri / Foto UPM

SERDANG, 11 Jun – Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencapai 99.4 peratus sekali gus membuktikan keupayaan universiti itu dalam melahirkan graduan berdasarkan permintaan industri.

Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata pencapaian sepanjang tahun 2023 itu membuktikan komitmen universiti dalam melahirkan graduan yang bukan hanya berpengetahuan dalam akademik bahkan mempunyai kemahiran insaniah yang selari dengan kehendak industri.

“Pencapaian ini adalah sejajar dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan holistik untuk berdaya tahan serta bersedia menyediakan graduan berketerampilan dan berupaya untuk menghadapi cabaran kebolehpasaran yang kini sangat kompetitif,” katanya ketika merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPM 2024, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Profesor Dr. Ahmad Farhan turut menyampaikan Anugerah Kebolehpasaran Graduan Terbaik Fakulti 2023 kepada Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), serta UPM Kampus Bintulu (UPMKB) yang masing-masing mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus.

UPM turut memberi penghargaan melalui Anugerah Kebolehkerjaan Graduan Terbaik (Dalam Bidang Pengajian) 2023 kepada FPV yang meraih tempat pertama dengan 91.1 peratus graduan bekerja dalam bidang pengajian mereka.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dengan 85.6 peratus dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), 80.5 peratus.

FPV turut menerima Anugerah Kebolehpasaran Graduan Terbaik Keseluruhan 2023 kerana menunjukkan prestasi cemerlang kerana 91.1 peratus graduan bekerja dalam bidang pengajian.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN