fb fb fb fb fb

Kebolehpasaran graduan TVET capai tahap 95.1%

Gambar hiasan

MELAKA, 11 Jun - Tahap kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini, kini berada di tahap 95.1 peratus.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sekaligus membuktikan bidang TVET kini bukan lagi pilihan kedua.

Jelasnya setakat ini, sebanyak 53.5 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didapati telah memilih bidang TVET sebagai hala tuju masa depan mereka.

“Di Malaysia, GiatMARA, sebuah institusi TVET di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah membuktikan kemampuannya. Ia telah melengkapkan belia luar bandar dengan pelbagai kemahiran dan lebih 50 graduan telah menjadi jutawan dalam bidang teknikal,” katanya dalam ucaptama pada ATC 4th RPD bertemakan “TVET for Rural and Regional Advancement” di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan, pihaknya turut memastikan agar komuniti Orang Asli dan golongan Kurang Upaya (OKU) tidak ketinggalan untuk mengikuti bidang TVET.

Dalam ucapan sama beliau mahukan Malaysia menjadi Hab Pensijilan dan Kecemerlangan TVET ASEAN dan berharap ia mendapat sokongan penuh semua negara anggota ASEAN.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM