Kebakaran terbuka di Kelantan melonjak

Foto Bernama

KOTA BHARU, 3 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan memperkemaskan tahap kesiapsiagaan susulan fenomena Super El-Nino yang dijangka mencapai tahap kemuncak menjelang hujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka: 2,197 panggilan Jan hingga awal Ogos berbanding 373 tahun lalu.
  • Lebih 70 peratus kebakaran terbuka melibatkan kebakaran belukar, kebanyakannya berpunca daripada tindakan manusia.
  • Penyiasatan: kebakaran sengaja dilakukan untuk membersihkan kawasan dan memulakan aktiviti penanaman.
  • JBPM meningkatkan aktiviti kesedaran awam supaya orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya turut meningkatkan aktiviti kesedaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

Ini bagi mengelakkan peningkatan kejadian kebakaran sepanjang tempoh itu yang dijangka membawa cuaca lebih kering serta taburan hujan lebih rendah.

Menurutnya kes kebakaran terbuka di Kelantan meningkat mendadak apabila 2,197 panggilan diterima bagi tempoh Januari hingga awal Ogos tahun ini, berbanding 373 panggilan direkodkan sepanjang tahun lalu.

“Kelantan merupakan negeri kedua tertinggi yang menerima panggilan kebakaran terbuka selepas negeri Kedah. Bagi kami ini amat membimbangkan walaupun kebakaran tersebut tidak melibatkan keseluruhannya tanah gambut.

“Sekiranya melibatkan tanah gambut, tindakan operasi lebih tinggi tetapi kalau dibandingkan dengan pembakaran belukar, ia lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, lebih 70 peratus daripada kebakaran terbuka di Kelantan membabitkan kebakaran belukar yang kebanyakannya berpunca daripada tindakan manusia.

“Siasatan mendapati kebakaran bukan berlaku secara semula jadi, sebaliknya sengaja dilakukan bagi dua tujuan utama iaitu membersihkan kawasan dan memulakan aktiviti penanaman,” tambahnya lagi.

Farhan berkata demikian kepada sidang media pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Tahun 2026 JBPM Kelantan di Tunjong, di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.