KUALA LUMPUR, 12 Mac- Kapasiti Depot Imigresen diseluruh negara mampu menempatkan sehingga 20,650 tahanan.
Bagaimanapun, setakat 7 Mac, hanya 13,635 pendatang asing tanpa izin ditempatkan di 20 pusat tahanan Imigresen.
Ini sekali gus menafikan laporan Pemerhati Hak Asasi Manusia atau Human Rights Watch (HRW), yang mendakwa Depot Imigresen negara sesak sehingga menindas tahanan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tahun lalu, kerajaan turut membelanjakan RM123 juta untuk tujuan mengurus 20 depot tahanan Imigresen.
"Berapa banyak yang kita belanja untuk uruskan 20 depo tahanan ini? RM123 juta tahun lepas makan sahaja. Bila kita usir kita bayar duit feri, bila kita usir kita bayar duit kapal begitu sekali kita jaga tapi HRW kata kita seksa (tahanan) sampai meninggal.
"HRW ini saya difahamkan apabila diminta bukti di mana berlaku insiden ini? di Tawau? Bidor? di mana kematian berlaku satu cebis bukti pun mereka tak kemukakan, tapi laporan dah mereka canang di seluruh dunia,"katanya.
Penyataan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.
Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bancian bagi mengenal pasti lokaliti warga asing di negeri Sabah sedang dilaksana menerusi Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing.
Beliau berkata, ia sebahagian usaha bagi merangka penyelesaian komprehensif berhubung isu membabitkan golongan Pendatang Asing Tanpa Izin termasuklah, rakyat tanpa dokumen.
"Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing ini sedang kita laksanakan bukan cadangan, ia sudahpun tertubuh, Jabatan Ketua Menteri ada satu bahagian bancian tentang keberadaan warga asing termasuk yang memegang segala aneka pas yang telah dikeluarkn terdahulu.
"Untuk kita merangka langkah kedepan ia mesti berlandaskan data yang tepat, jadi tugas itu diambil oleh kerajaan negeri Sabah khususnya Jabatan Ketua Menteri, KDN dan kemudiannya akan bersama kerajaan negeri Sabah akan merangka langkah kehadapan,"katanya.
Penyataan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.