
LUMUT, 27 April – Seramai 26 Pegawai dan 549 anggota lain-lain pangkat menyertai Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-92.
- KD LEKIR menerima Piala Agong, anugerah tertinggi TLDM, dan Piala Gonzales.
- Markas Pasukan Khas Laut diumum pemenang Anugerah Markas Terbaik TLDM 2025.
- KD PERKASA dinobat penerima Piala Panglima Tentera Laut.
- Dua anggota TLDM dianugerahkan Pingat Pujian Panglima Tentera Laut atas kecemerlangan perkhidmatan.
Istiadat yang berlangsung di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM, Lumut itu disempurnakan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Ts Datuk Badarudin Taha.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut TLDM, bertemakan ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’, perbarisan itu melibatkan enam kontinjen diketuai Pemangku Komander Wan Mohammad Firdaus Wan Ghazali dan dibantu Pegawai Waran I PAP (PKL) Saharudin Zainol selaku Pegawai Waran Perbarisan.
“Dalam majlis itu, Markas Pasukan Khas Laut diumum sebagai pemenang Anugerah Markas Terbaik TLDM 2025, manakala KD LEKIR menerima Piala Agong (Anugerah tertinggi TLDM) dan Piala Gonzales.
“KD PERKASA pula dinobatkan sebagai penerima Piala Panglima Tentera Laut. Manakala, Pingat Pujian Panglima Tentera Laut diberikan kepada dua anggota TLDM yang telah mempamerkan kecemerlangan luar biasa dalam perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sambutan ulang tahun TLDM itu turut diadakan serentak di semua markas formasi dan unit TLDM di seluruh negara.