KUALA LUMPUR, 6 Mac- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) giat melaksanakan inisiatif kesedaran dan intervensi efektif terhadap penggunaan dadah dalam kalangan belia.
Ini susulan kejadian tragis melibatkan empat belia yang meninggal dunia selepas menghadiri konsert.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata pihaknya mengadakan pertemuan dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan data mengenai penggunaan dadah dalam kalangan belia.
Beliau turut berkata inisiatif tersebut memfokuskan kepada golongan belia yang berusia antara 15 hingga 30 tahun.
"Hari ini perjumpaan dengan Hospital Kuala Lumpur telah berjalan dengan baik. Kita telah mendapatkan trend penggunaan dadah dalam kalangan belia. Informasi yang kita dapat adalah daripada pesakit yang mereka ada hampir 50 peratus adalah golongan belia 15 hingga 30 tahun.
KBS menerusi taklimat ini, kita akan laksanakan dua intervensi. Pertama, kita akan wujudkan banyak bahan kesedaran antaranya poster dan video, semua untuk kumpulan sasaran kita. Ini supaya mereka tahu bahawa ini adalah satu trend yang membahayakan," kata Hannah kepada pemberita, hari ini di ibu negara.
Beliau berkata demikian selepas Lawatan Kerja ke HKL berhubung Program Advokasi Belia mengenai penyalahgunaan dadah di ibu negara.
Tambah beliau, KBS turut bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melalui program Rakan Muda untuk menyediakan sokongan dan bimbingan kepada belia, termasuk mereka yang berdepan masalah disiplin atau ketagihan dadah.