KASPA lahirkan kadet berkemahiran dan berjiwa sukarelawan

Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel (PA) Effendy Ali (tengah) menyerahkan sijil kepada peserta KASPA / Foto RTM

LABUAN, 6 Ogos – Program Perkhemahan Ujian Kenaikan Pangkat Pegawai Waran Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA) bukan sahaja menguji keupayaan fizikal dan kemahiran kadet, malah menjadi medium membentuk semangat kesukarelawanan serta budaya saling membantu dalam kalangan generasi muda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyemai nilai kepimpinan, disiplin dan kemahiran asas pengurusan kecemasan dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah.
  • 96 pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan menyertai Program KASPA Peringkat Kebangsaan Zon Borneo.
  • Peserta dinilai melalui komponen seperti kawad kaki, ikatan dan simpulan, pertolongan cemas, melawan kebakaran dan menyelamat.
  • APM merancang memperluas program serta meningkatkan latihan untuk melahirkan anggota pelapis mahir pengurusan bencana dan operasi menyelamat.

Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, program itu penting bagi menerapkan nilai kepimpinan, disiplin dan kemahiran asas pengurusan kecemasan kepada pelajar sejak di bangku sekolah.

“Program KASPA sangat baik untuk diterapkan di sekolah kerana ia dapat menyemai semangat kesukarelawanan dan sikap saling membantu dalam kalangan pelajar sejak usia muda. Pada masa sama, mereka turut didedahkan dengan pelbagai ilmu yang boleh dimanfaatkan untuk membantu keluarga dan masyarakat ketika berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Program Perkhemahan Ujian Kenaikan Pangkat Pegawai Waran KASPA Peringkat Kebangsaan Zon Borneo di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Labuan.

Seramai 96 pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan menyertai program berkenaan yang bertujuan menguji kecekapan, ketahanan fizikal serta kemahiran kepimpinan peserta.

Menurut Effendy, sepanjang program, peserta dinilai menerusi pelbagai komponen termasuk kawad kaki, ikatan dan simpulan, pertolongan cemas, melawan kebakaran, menyelamat, pengurusan kecemasan serta ujian teori dan praktikal bagi memenuhi syarat kenaikan pangkat Pegawai Waran KASPA.

Beliau berkata, APM turut merancang untuk memperluaskan program serta meningkatkan latihan dan pendedahan kepada kadet KASPA bagi melahirkan lebih ramai anggota pelapis yang berkemahiran dalam pengurusan bencana dan operasi menyelamat.

Turut hadir, Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah dan Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Mohd Fadzli Sheikh Abdul Rahim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.