Selangor lulus 39 projek pusat data, jana lebih 2,400 peluang pekerjaan

Exco Pelaburan Selangor, Ng Sze Han / Foto RTM

SHAH ALAM, 6 Ogos – Sebanyak 39 projek pusat data diluluskan di negeri ini bagi tempoh 2021 hingga 2025 dengan potensi menjana lebih 2,400 peluang pekerjaan tetap.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluang pekerjaan termasuk peranan dalam teknologi maklumat, bidang teknikal, kejuruteraan serta pentadbiran.
  • Pembangunan pusat data dijalankan secara mampan melalui penyelarasan pihak berkepentingan dan pematuhan aspek infrastruktur serta alam sekitar.
  • Setiap permohonan bekalan air untuk pusat data dinilai menurut keupayaan bekalan sedia ada dan unjuran permintaan air terawat.
  • Kerajaan Negeri mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan supaya syarikat tempatan memperoleh peluang perniagaan.

Exco Pelaburan, Ng Sze Han berkata peluang pekerjaan itu melibatkan pelbagai bidang seperti teknologi maklumat, teknikal serta kejuruteraan dan pentadbiran.

Jelas beliau, pembangunan industri pusat data dilaksanakan secara mampan menerusi penyelarasan bersama dengan pelbagai pihak berkaitan, sekali gus memastikan aspek infrastruktur serta pematuhan alam sekitar sentiasa diberi perhatian.

“Setakat ini, permintaan pusat data di negeri ini tidak memberi tekanan terhadap bekalan air domestik khususnya di kawasan berpenduduk padat.

“Bagi aspek penggunaan air, setiap permohonan bekalan air bagi industri pusat data akan dinilai berdasarkan sistem keupayaan bekalan air sedia ada serta unjuran permintaan air terawat pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Selangor melihat pelaburan pusat data menjadi sebahagian ekosistem yang menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Namun Ng Sze Han berkata pelaksanaannya memerlukan langkah kawalan yang progresif dan seimbang bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Melalui mesyuarat penyelarasan pra-pelaburan, Kerajaan Negeri turut meletakkan syarat setiap pelaburan pusat data mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus local content bagi membolehkan syarikat tempatan memperoleh peluang perniagaan daripada pelaburan berskala besar,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh ADUN Hulu Bernam, Mu’izzuddeen Mahyuddin mengenai pelaburan pusat data di negeri ini pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.