
CHERAS, 6 Ogos – Pendekatan kepolisan komuniti di kawasan sempadan terus menjadi antara strategi utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh kawalan keselamatan negara.
- Maklumat risikan daripada komuniti membantu membawa kepada tangkapan PATI dan pembongkaran kegiatan penyeludupan.
- Hubungan erat antara anggota PGA dan masyarakat setempat penting; program kepolisan komuniti perlu mendekati serta memenangi hati penduduk.
- PDRM kini mempunyai 181 pos PGA di seluruh negara bagi memperkukuh kawalan sempadan.
- Perkukuhan kerjasama keselamatan serantau serta penggunaan dron dan AI meningkatkan keberkesanan operasi kawalan sempadan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kerjasama masyarakat setempat terbukti membantu menyalurkan maklumat risikan sehingga membawa kepada penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta pembongkaran kegiatan penyeludupan.
Jelasnya, hubungan erat antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan komuniti setempat amat penting bagi memastikan masyarakat menjadi rakan strategik kepada pasukan keselamatan.
“Kita mahu menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat, contohnya di Sabah dan Sarawak. Mungkin anggota yang bertugas ini dari Semenanjung. Jadi mereka (anggota polis) perlu mengadakan program kepolisan komuniti bersama masyarakat setempat dengan mendekati dan memenangi hati mereka,” ujarnya.
Beliau menyatakannya pada sidang media mengenai kejayaan rampasan Op Taring Alpha 1 dan 3 di sini.
Katanya, PDRM kini mempunyai 181 pos PGA di seluruh negara meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan penduduk berasa lebih selesa dengan kehadiran pihak berkuasa sekali gus terdorong menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dan jenayah yang berlaku di kawasan mereka.
Datuk Seri Mohd Yusri berkata, maklumat daripada komuniti terbukti menjadi antara sumber risikan penting dalam membantu PDRM mengesan kegiatan jenayah rentas sempadan.
“Alhamdulillah, masyarakat banyak membantu. Kita ada statistik mengenai maklumat dan kerjasama yang diberikan sehingga membawa kepada tangkapan PATI serta kegiatan penyeludupan barang-barang kontraban,” katanya.
Beliau berkata, antara barangan yang sering cuba diseludup ialah petrol, diesel, beras, tepung dan gas petroleum cecair (LPG), yang bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara malah menjejaskan bekalan barangan kawalan kepada rakyat.
Dalam masa sama, beliau berkata PDRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi keselamatan Thailand dan Indonesia melalui operasi bersama, rondaan bersepadu serta perkongsian risikan, di samping meningkatkan penggunaan teknologi seperti dron dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat keberkesanan kawalan di kawasan sempadan.