fb fb fb fb fb

KARYAWAN jalin kerjasama dengan RTM, perkasa hak artis

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) berusaha merapatkan hubungan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menjalin kerjasama dalam melindungi hak artis / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) berusaha merapatkan hubungan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menjalin kerjasama dalam melindungi hak artis serta menyelesaikan isu yang dihadapi mereka.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata usaha itu penting bagi memastikan kebajikan dan keadilan kepada para penggiat seni terus diberi perhatian, sekali gus mewujudkan ekosistem industri yang lebih kondusif dan profesional.

"Yang akan datang, kita akan bekerjasama dalam semua bidang, bukan sahaja kebajikan, tetapi juga pembangunan industri serta menyediakan peluang pekerjaan kepada artis-artis lama yang masih mahu berkarya tetapi kurang diberikan peluang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke pejabat Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Tambahnya, dengan sokongan daripada pihak seperti RTM, industri muzik tempatan berpotensi untuk berkembang serta meraih lebih banyak pengiktirafan, sementara artis lama dapat terus berkarya tanpa dipinggirkan.

Antara perkara yang turut dibincangkan dalam pertemuan itu adalah memastikan setiap artis yang mengadakan persembahan di RTM berdaftar dengan KARYAWAN, sebagai langkah memperkukuh sokongan dalam kalangan penggiat seni tempatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN