fb fb fb fb fb

Karnival Mahabbah Komuniti Madani, masjid sebagai pusat komuniti masyarakat

Foto FB JAKIM

SEPANG, 9 Mac- Karnival Mahabbah Komuniti Madani anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyasarkan objektif masjid sebagai pusat komuniti dan penyatuan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata program Karnival Mahabbah itu diadakan bagi memperkukuh keutuhan masyarakat dengan pelbagai aktiviti menarik selain mahu mendekatkan masyarakat dengan masjid serta elak terjerumus dalam gejala penyalahgunaan dadah.

"Masjid sebagai pusat komuniti, platform masyarakat untuk berhubung selain menjayakan proses pemulihan golongan yang terjerumus dalam kancah dadah."

"Saya berpesan kepada pengerusi jawatankuasa masjid, mereka ini perlu bersifat terbuka menerima golongan berkenaan jika mereka ingin hadir ke masjid dan terus mengajak mereka untuk berbuat kebaikan," kata Dr. Na'im kepada pemberita di Sepang, hari ini.

Tambahnya, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Subuh Macam Jumaat, Rewang Komuniti, Sukan Riuh Sekampung, Forum Ambang Ramadan dan banyak lagi, bagi mengeratkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat. 

Dalam masa sama, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) telah memperuntukkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada 100 orang penerima asnaf Ar Riqab. 

Turut menyumbang sama, Tabung Musa’adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sebanyak RM100 kepada komuniti non-muslim yang memerlukan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM