
KUALA LUMPUR, 31 Januari – Karnival Kuala Lumpur (KL) MADANI menjadi platform terbaik mendekatkan dasar, perkhidmatan dan inisiatif kesejahteraan rakyat secara langsung kepada warga kota.
- Karnival KL MADANI bawa pelbagai perkhidmatan kerajaan terus ke komuniti untuk meringankan beban kos sara hidup.
- Perkeso dan JWP menyerahkan skim perlindungan kepada penerima terpilih semasa majlis karnival.
- MAIWP menyediakan 1,000 bakul makanan untuk asnaf dan miskin tegar yang boleh dituntut sepanjang karnival.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penganjuran karnival selama tiga hari bermula semalam itu bersempena dengan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.
Usaha itu selari komitmen Kerajaan MADANI dalam meringankan beban kos sara hidup rakyat dengan membawa pelbagai perkhidmatan kerajaan terus ke kawasan komuniti, antaranya Jualan Rahmah.
“Hari ini kita melancarkan Karnival Kuala Lumpur MADANI bersempena dengan Hari Wilayah Persekutuan dan pada masa sama Hari Terbuka Putrajaya turut berlangsung di Putrajaya. Banyak acara dianjurkan bagi meraikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026.
“Saya menjemput semua penduduk untuk hadir memeriahkan karnival ini hingga 1 Feb di stadium ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival KL MADANI di sini hari ini.
Sementara itu, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) turut menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menyerahkan Skim Lindung Kendiri kepada lapan penerima serta Skim Lindung Kasih kepada lima penerima yang layak pada majlis tersebut.
Selain itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pula menyediakan sebanyak 1,000 unit bakul makanan keperluan asas kepada golongan asnaf dan miskin tegar yang boleh dituntut di kaunter MAIWP sepanjang karnival berlangsung.
Pelbagai pengisian menarik seperti Kenduri Parlimen Bandar Tun Razak dan Festival GastroSeni Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijalankan selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan perpaduan dan kesejahteraan bersama.